19 July 2014

Junta Thailand benar Yingluck ke Paris


BANGKOK 17 Julai - Kerajaan junta Thailand membenarkan bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra untuk meninggalkan negara ini buat kali pertama sejak rampasan kuasa tentera pada 22 Mei lalu.
Jurucakap tentera, Kolonel Winthai Suvaree berkata, kerajaan sementara yang diterajui tentera, semalam meluluskan permintaan Yingluck untuk pergi ke Paris pada minggu depan bagi menghadiri majlis sambutan hari jadi abangnya, Thaksin Shinawatra yang juga bekas Perdana Menteri yang kini hidup dalam buangan.
Suvaree berkata, permintaan tersebut diluluskan selepas kerejaan sementara yang sebelum ini dikenali sebagai Majlis Keamanan dan Ketenteraman Nasional Thailand (NCPO) mendapati Yingluck tidak terlibat dalam politik sejak beliau digulingkan,
"Beliau juga tidak pernah menunjukkan tindakan menentang NCPO dan mengambil sikap merendah diri," katanya.
Dalam perkembangan lain, kerajaan junta pimpinan Jeneral Prayut Chan-ocha memansuhkan yuran visa bagi pelancong China dan Taiwan selama tiga bulan sebagai langkah merangsang industri pelancongan negara ini, yang terjejas teruk akibat ketidakstabilan politik pada separuh pertama tahun ini.
Pemansuhan yuran itu berkuat kuasa dari 1 Ogos hingga 31 Oktober ini, tempoh sebelum musim kemuncak, untuk merangsang industri pelancongan.
Presiden Majlis Pelancongan Thailand, Piyaman Tejapaibul berkata, junta meluluskan langkah itu sebagai penghargaan kepada pelancong dari China dan Taiwan, yang sentiasa menyokong dengan tetap melawat Thailand, walau apa pun berlaku di negara ini.
Beliau berkata, jumlah ketibaan pelancong dari China turun sebanyak 20 peratus, dan yakin dasar baharu itu akan membantu meningkatkan semula bilangan pelancong dari negara itu.- AFP/BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140718/lu_06/Junta-Thailand-benar-Yingluck-ke-Paris#ixzz38DUGAOYc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment