23 January 2016

Thailand pertimbang kenakan surcaj

bendera thailand

22 JANUARI 2016 BANGKOK - THAILAND. Melancong ke Thailand mungkin akan menelan belanja yang mahal pada masa akan datang kerana pihak berkuasa pelancongan sedang mempertimbangkan untuk mengenakan surcaj 360 Baht (RM43) kepada pelancong asing ke negara itu.
Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT), Yuthasak Supasorn berkata surcaj itu akan dimasukkan ke tiket penerbangan bagi mereka yang menaiki kapal terbang ke Thailand atau dibayar secara berasingan sejurus sampai ke negara ini menerusi mod pengangkutan yang lain.
"Tidak lama lagi, TAT akan mengemukakan idea dan membawanya kepada kerajaan untuk kelulusan. Pendapatan akan diberikan sama rata kepada wilayah-wilayah," katanya sebagaimana dipetik akhbar tempatan pada Jumaat.
Yuthasak berkata sekiranya kerajaan meluluskan cadangan tersebut, negara itu boleh memperoleh tambahan 12 bilion Baht (RM1.46 bilion) dengan unjuran ketibaan 30 juta pelancong.
Beliau berkata wilayah-wilayah berkenaan boleh menggunakan pendapatan tambahan itu untuk melaksanakan projek bagi memperbaiki alam sekitar dan meningkatkan tahap keselamatan sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan pelancong tempatan.
Cadangan TAT untuk mengenakan surcaj itu dibangkitkan tidak lama selepas keputusan kerajaan untuk menggandakan bayaran visa ketibaan kepada 2,000 Baht (RM244) untuk warga dari 18 negara.
Antara negara yang terbabit dengan peraturan baharu itu ialah Andorra, Bulgaria, Bhutan, China, Cyprus, India, Kazakhstan, Malta, Mauritius, Romania, Arab Saudi, Taiwan, Ukraine dan Uzbekistan.
Visa ketibaan dikeluarkan di 42 pintu masuk, termasuk lapangan terbang Suvarnabhumi dan Don Muang.
Yuthasak berkata, cadangan surcaj dan bayaran baharu visa itu akan mempunyai kesan terhadap perbelanjaan pelancong dan bukan kepada industri pelancongan negara itu.
"Kami percaya faktor ini tidak akan mendatangkan banyak masalah terhadap pelancongan kerana ia tidak menjejaskan pelancong yang berbelanja tinggi.
Bagaimanapun, beberapa pelancong tidak akan gembira," katanya. - Bernam
a

No comments:

Post a Comment