13 January 2016

90 peratus pasti Hassan

Selama: Identiti mayat seorang lelaki yang ditemui mati dengan tiga kesan tembakan di dahi dan muka di tepi jalan masuk ke Bukit Sumpitan, di sini, pada 29 Disember tahun lalu, dikenali sebagai Hassan Osman, 58, warga asing yang mempunyai dua kerakyatan dan dikehendaki pihak berkuasa Thailand membabitkan kegiatan pemerdagangan manusia.
Difahamkan lelaki etnik Rohingya itu, mempunyai kerakyatan Myanmar dengan nama U Mar San @ Tun Yee dan kerakyatan Thailand dengan nama Nai Had Thong Ting serta pengecaman mangsa disahkan oleh seorang anak lelakinya beberapa hari selepas berita mengenai penemuan mayat mangsa dilaporkan.
Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Loo Lian Lay berkata, pihaknya bagaimanapun masih menunggu laporan asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan identiti sebenar mangsa.
Menurutnya, pihak berkuasa Thailand turut menghubungi pihaknya memaklumkan lelaki dikenali sebagai Hassan Osman itu dikehendaki dan diburu kerana dipercayai antara dalang utama dalam kegiatan memperdagangkan manusia di negara berkenaan.
“Identiti mangsa di kenal pasti berdasarkan pengecaman dibuat anak lelakinya yang tinggal di Thailand dan setakat ini 90 peratus pasti ia Hassan, namun kita masih menunggu laporan DNA serta mayatnya masih tidak boleh diserahkan kepada ahli keluarga lagi.
“Polis turut berhubung dengan Kedutaan Myanmar untuk pengesahan identiti lelaki berkenaan dan masih belum ada jawapan,” katanya.
Lian Lay berkata, siasatan awal turut mendapati mangsa mempunyai dua anak lelaki yang kedua-duanya rakyat Malaysia, namun hanya seorang saja yang datang membuat pengecaman dan seorang lagi dipercayai hilang bersama mangsa serta hingga kini masih gagal dikesan.
Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari 29 Disember lalu, lelaki berkenaan dipercayai ditembak dari jarak dekat iaitu di dahi dan dua das di muka dengan peluru jenis .22 milimeter (mm) ditemui lengkap berpakaian serta dipercayai dibunuh di tempat lain.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 9:12 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/106895#sthash.XsplzhH9.dpuf

No comments:

Post a Comment