16 January 2016

Yingluck didakwa di mahkamah



SEKUMPULAN wartawan dan jurugambar mengerumuni Yingluck Shinawatra di luar Mahkamah Agung di Bangkok semalam. - REUTERS


BANGKOK - Bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra tampil di mahkamah semalam untuk menghadapi perbicaraan tuduhan rasuah.
Para penyokong wanita itu bagaimanapun mendakwa, pertuduhan berkenaan merupakan satu muslihat oleh pemerintah junta tentera untuk menyekat pengaruh beliau dan keluarganya.
Yingluck yang merupakan adik perempuan bongsu bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra telah digulingkan junta tentera menerusi satu rampasan kuasa pada 2014.
Thaksin kini hidup dalam buangan di Britain selepas digulingkan pada September 2006.
Dia turut menghadapi beberapa tuduhan rasuah serta salah guna kuasa.
Yingluck dihadapkan di Mahkamah Agung kerana didakwa gagal menguruskan skim subsidi beras yang merupakan sebahagian daripada dasar popular bagi membantu parti pimpinannya memenangi pilihan raya umum Thailand pada 2011.
Beliau diharamkan berkecimpung dalam bidang politik selama lima tahun pada Januari lalu selepas pihak tentera yang melantik satu badan perundangan mendapati Yingluck bersalah kerana salah urus skim itu.
Bagaimanapun, Yingluck menafikan pertuduhan tersebut yang menyebabkan beliau bakal berhadapan dengan hukuman penjara selama 10 tahun jika didapati bersalah.
“Saya telah bersiap sedia. Saya yakin bahawa kita akan melakukan yang terbaik bagi menghadapi perbicaraan ini,” kata Yingluck kepada wartawan di luar mahkamah.
Yingluck dilihat disambut lebih 100 penyokongnya semasa beliau tiba di mahkamah semalam.
“Perdana menteri rakyat. Kamu perlu lawan. Kami sayang Yingluck!” jerit beberapa penyokongnya.
Pendakwa raya kes itu dijangka akan membawa empat orang saksi dan perbicaraan kes itu dijangka akan berlarutan sehingga tahun ini, manakala keterangan saksi kali terakhir pula dijadualkan pada November ini.
Kerajaan junta tentera berkata, skim beras yang diperkenalkan pada tahun 2011 itu dipenuhi dengan rasuah selain kerajaan perlu menanggung kerugian berbilion dolar.
- REUTERS


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0116&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3xNVYBrAS 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment