Setiausaha Agung OIC, Iyad Ameen Madani berkata, perkara itu disampaikan kepada Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha dalam satu pertemuan di sini semalam, sambil menambah kata, OIC hanya akan berbuat demikian ‘sekiranya terdapat perjanjian’ dengan Bangkok.
“Kami menawarkan diri untuk bertindak sebagai fasilitator, sebahagian daripada langkah membina keyakinan dalam proses politik di selatan (Thailand).
“Kami sangat yakin dengan apa yang berlaku di bawah kepemimpinan sekarang. Kami merasakan ada keikhlasan dalam menyelesaikan masalah ini (konflik di selatan Thai),” katanya kepada pemberita, di sini semalam.
Madani, yang baru tiba di sini dari Kuala Lumpur, Malaysia, tiga hari lalu berkata, OIC sangat menyokong rundingan antara Bangkok dan kumpulan pemisah dan ‘bersedia memain peranan jika diminta’.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa OIC tidak meletakkan syarat bagi penyelesaian konflik itu dan tidak ‘meletakkan agenda’ tetapi hanya menawarkan diri sebagai platform membina kenyakinan.
Dalam temu bual pada hari terakhir lawatannya ke Thailand, Setiausaha Agung OIC itu turut menekankan bahawa konflik di selatan Thailand ‘bukan berpunca daripada agama’.
Thailand dan kumpulan pemisah telah mengadakan beberapa siri rundingan dibantu oleh Malaysia di Kuala Lumpur sebagai usaha mencari penyelesaian yang aman terhadap konflik yang berterusan di wilayah di selatan negara ini.
Menurut Madani, ‘sejarah pergolakan’ dan ‘rasa tidak persefahaman’ boleh diselesaikan menerusi proses politik dengan ‘membawa mereka bertemu untuk berunding’.
Sementara itu, Prayuth berkata, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan OIC dalam semua perkara, kecuali keganasan di selatan Thailand.
Prayuth juga berkata bahawa beliau tidak mengetahui tentang pertemuan antara Madani dan kumpulan pemisah Mara Patani di Malaysia, baru-baru ini untuk membincangkan isu rundingan damai di selatan Thailand.
“Saya mempunyai prinsip, jangan bercakap dengan saya jika anda tidak mempunyai prinsip. Kita tidak dapat menyelesaikan isu ini bersendirian.
“Berapa banyak nyawa yang terkorban kerana pemberontakan dan keganasan. Wang bukan nilai untuk nyawa mereka ini,” katanya kepada pemberita.
Pihak berkuasa Thailand telah lama bergelut untuk menyelesaikan isu keganasan di selatan Thailand sejak 2004 dan lebih 5,000 orang telah terbunuh sejak itu.
OIC sesekali turut mengkritik tindakan kerajaan Thailand, yang dilihat berat sebelah dalam menangani masalah yang dihadapi masyarakat minoriti Islam di negara ini. – Bernama/Agensi