21 January 2016

Prayuth bimbang konflik agama

Prayuth

21 JANUARI 2016

 BANGKOK -  THAILAND. Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha bimbang wujudnya konflik agama di wilayah Pattani selepas timbul cadangan membina taman Buddha di wilayah tersebut.
Prayuth semalam, tampil menjelaskan bahawa cadangan pembinaan taman itu yang lengkap patung gergasi Buddha di tengah-tengah Pattani, di mana majoriti penduduknya beragama Islam belum diluluskan pihak berkuasa tempatan wilayah terbabit.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu berikutan bantahan pemimpin agama Islam dan masyarakat tempatan lapor Bangkok Post.
"Adakah taman itu sudah disiapkan dan siapa membinanya? Adakah mereka (pengurus projek) telah mendapat kebenaran?
"Gabenor wilayah sehingga kini masih belum mendapatkan kelulusan Kementerian Dalam Negeri.
"Saya akan mengelakkan persengketaan antara dua agama,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet, semalam.
Malah beliau sangsi sama ada Kementerian Dalam Negeri mengetahui kewujudan projek pembinaan taman Buddha yang yang turut dikenali sebagai Taman Monthon itu.
Pemimpin agama dan masyarakat tempatan bimbang pembinaan taman Buddha di wilayah yang 80 peratus penduduknya beragama Islam akan memburukkan lagi konflik berdarah di wilayah selatan Thailand.
Mengikut perancangan pihak berkuasa tempatan, taman Buddha itu dijangka akan dibina di satu kawasan dinamakan Pak Ao di daerah Muang, Pattani.

No comments:

Post a Comment