Ketua Polis Metropolitan Kawasan Tiga Mejar Jeneral Chaiyaporn Panich-Attra berkata, operasi bersama tentera itu diketuai beliau sendiri.
“Saya mengetuai pasukan itu berikutan kejadian letupan di Jakarta dan pengeboman di Ratchaprasong pada pertengahan Ogos lepas,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Menurut beliau, pasukannya melakukan pemeriksaan di pangsapuri yang disyaki disewa suspek di kawasan itu, tetapi tidak menjumpai sebarang objek.
Chaiyaporn berkata, sasaran serbuan ialah individu mencurigakan, tetapi beliau tidak memberi penjelasan lanjut.
Beliau bagaimanapun meredakan kebimbangan yang mungkin dirasai masyarakat Islam di Min Buri apabila berkata, pasukan keselamatan Thailand tidak menjadikan golongan itu sebagai sasaran dalam operasi keselamatan berkenaan.
Pasukan keselamatan Thailand termasuk polis dan tentera, meningkatkan pengawasan di sekitar Bangkok dan kawasan sempadan dengan negara jiran berikutan serangan di Jakarta.
Ogos lepas, Thailand mengalami serangan bom paling dahsyat dalam sejarahnya apabila sebutir bom diletupkan di Kuil Erawan, yang terletak di persimpangan Rachaprasong di sini, yang terkenal kerana kesibukannya dan menyebabkan 20 orang maut, termasuk lima rakyat Malaysia. – BERNAMA