1 February 2016

Selatan Thai tolak IS



AGENSI - GAMBAR daripada rakaman video IS menunjukkan beberapa tahanan IS yang memakai baju berwarna jingga menunggu hukuman mati dijalankan ke atas mereka di Iraq.



BANGKOK – Cubaan kumpulan militan Islamic State (IS) untuk menyebarkan ideologi mereka dalam kalangan umat Islam di wilayah selatan Thailand yang mengalami pergolakan adalah tidak berhasil.
“Setakat ini, tiada bukti menunjukkan IS berjaya mewujudkan unit seperti pejuang pembebasan di selatan Thailand. Ia masih kekal sebagai satu idea,” kata pakar hal ehwal selatan Thailand di Universiti Thammasat, Profesor Dr. Jaran Maluleem.
Dalam wawancara bersama Bernama, beliau berkata, antara sebab utama IS gagal menawan hati dan minda umat Islam di selatan Thailand ialah kebencian penduduk terhadap kekejaman yang mereka lakukan.
Selain itu, perjuangan umat Islam Thailand juga cenderong pada perjuangan setempat, bukan perjuangan keagamaan, katanya.
Menurutnya, usaha IS untuk merekrut orang Islam Thailand sebagai anggotanya bermula pada tahun lepas.
Kata Jaran, dalang utama yang memainkan peranan merekrut anggota kumpulan militan itu ialah seorang ‘tokoh agama’ yang sering memberi ceramah untuk menyebarkan ideologi IS
“Saya dimaklumkan orang ini secara terang-terangan berkata, kita perlu mendoakan agar IS kembali bangkit untuk berperang (menentang imperialisme Barat).
“Dia mahu menghasut orang ramai supaya memberi sokongan kepada kumpulan militan ini.
“Malah, tokoh agama ini pernah muncul dalam satu program yang disiarkan sebuah stesen televisyen di selatan Thailand,” tambahnya.
Menurut Jaran, pada mulanya ramai juga yang tertarik kepada IS tetapi pengaruhnya mulai merosot apabila kumpulan itu dilihat sering melakukan kekejaman terutamanya terhadap orang awam.
“Umat Islam di selatan Thailand sama sekali tidak boleh menerima keganasan, katanya.
Jelas penganalisis tersebut, selepas berlakunya serangan bersenjata dan pengeboman di Jakarta yang dipercayai angkara sebuah kumpulan tempatan yang bersekutu dengan IS, Katibah Nusantara, Bangkok dikatakan bimbang wilayah di selatan Thailand akan menjadi sarang kumpulan pengganas.
Kebimbangan pihak berkuasa meningkat apabila tersiar laporan yang mendakwa tiga individu yang disyaki mempunyai hubungan dengan IS telah mengadakan perjumpaan dengan para pemimpin agama di Narathiwat akhir tahun lepas.
Media tempatan memetik Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha sebagai berkata, beliau meminta pihak berkuasa menyiasat perkara itu.
Menurut media tempatan, sumber perisikan mengenal pasti tiga suspek berkenaan masing-masing seorang rakyat Indonesia, Malaysia dan Singapura yang memberi derma kepada sebuah masjid tempatan dan memintanya menyampaikan ajaran IS.
Jaran berkata, walaupun IS menemui kegagalan di selatan Thailand, namun beliau masih bimbang kumpulan pengganas itu tidak akan menghentikan cubaannya untuk menyebarkan ideologi sesat mereka di Indonesia, Malaysia, Thailand dan Brunei. – Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0201&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3yroVNlbI 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment