13 February 2016

Thailand bersedia hadapi serangan balas

Jen Prawit Wongsuwon

12 FEBRUARI 2016 Jen Prawit Wongsuwon - Foto Voanews BANGKOK - THAILAND . Pasukan keselamatan di selatan Thailand kini bersiap siaga untuk menghadapi serangan balas berikutan kejayaannya mengesan dan memusnahkan sebuah "makmal" membuat bom kepunyaan gerakan pembebasan di tengah-tengah kawasan hutan bakau di wilayah Pattani dua hari lepas.
Timbalan Perdana Menteri Jen Prawit Wongsuwon berkata pasukan keselamatan di kawasan bergolak itu menjangka akan berlaku serangan balas berikutan kejadian di Kampung Pao, Nongchik itu.
"Oleh kerana kami menangkap beberapa suspek dan merampas beberapa bahan letupan dalam operasi itu dua hari lepas, maka mereka (pejuang) mungkin membalas dendam dengan menyerang kami.
"Tapi, kami akan mencuba sedaya upaya (untuk menyelesaikan masalah ini)," katanya kepada pemberita mengenai keadaan di wilayah selatan negara ini selepas mempengerusikan satu mesyuarat di Rumah Kerajaan di sini pada Jumaat.
Prawit, yang juga Menteri Pertahanan Thailand, juga ditanya sama ada kejadian terbaru itu akan menjejaskan usaha mengembalikan keamanan di wilayah berkenaan, tetapi beliau enggan menjawabnya.
Dalam kejadian pada 11 pagi itu, satu operasi bersama tentera-polis Thai melibatkan 100 angota, menyerbu sebuah pondok usang tidak jauh dari kampung berkenaan selepas bertempur seketika dengan enam lelaki bersenjata.
Pasukan keselamatan terpaka menggunakan bot penyerang dan helikopter untuk sampai ke pondok berkenaan yang dijadikan "makmal membuat bom" oleh lelaki bersenjata berikutan keadaan sekitarnya yang berpaya.
Pasukan keselamatan Thailand berjaya menawan seorang daripada enam lelaki terbabit dan menjumpai banyak Peranti Letupan Reka Ganti (IED) yang siap untuk digunakan serta peralatan membuat bom lain dan pelan serangan.
Sementara itu, keadaaan di wilayah selatan terus tegang apabila beberapa tembakan dan serangan bom berlaku dalam tempoh 24 jam lepas, dipercayai berkait rapat dengan kejadian di Kampung Pao itu.
Ketua Polis Pattani Mej Jen Thanongsak Wangsupa berkata pasukan keselamatan terus memburu lima lelaki bersenjata yang berjaya melepaskan diri dalam operasi keselamatan di Kampung Pao.
Dalam tempoh semalaman, anggota pasukan keselamatan menjumpai dua pondok di kawasan Nongcik, yang dipercayai digunakan lelaki bersenjata yang melepaskan diri itu, dan mereka segera membakarnya.
Thanongsak berkata, beliau mengarahkan pasukan keselamatan memperketatkan pemeriksaaan terhadap kenderaan yang keluar masuk dari pekan Pattani kerana bimbang berlaku serangan menggunakan kereta atau motosikal.
Keganasan terus berlaku di wilayah itu apabila sebuah sekolah kerajaan di Nongchik terbakar, disyaki akibat perbuatan khianat pada 4 pagi Jumaat, manakala di Yaring, Pattani, seorang lelaki ditembak orang tidak dikenali pada 6.30 pagi.
Seorang anggota renjer Thailand terbunuh apabila IED seberat 10kg meletup di Kampung Pejeng, Krong Pinang, Yala pada 6.50 pagi Jumaat ketika sekumpulan sembilan anggota renjer Thai melakukan rondaan biasa.
Ketua Polis Krong Pinang Kol Somprach Kankanon berkata serangan bom pada awal pagi itu, yang meninggalkan lubang sedalam satu meter, adalah perbuatan membalas dendam terhadap kejadian di Kampong Pao.
Dalam satu lagi kejadian, sebutir bom buatan sendiri diletupkan dengan menjadikan anggota tentera yang melakukan rondaan di Lubuk Sawo Narathiwat pada pagi Jumaat sebagai sasarannya, tetapi tiada seorang pun cedera dalam serangan itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment