11 February 2016

Bom buatan sendiri 30kg dirampas di Pattani

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2016 @ 3:52 PM




PATTANI: Pasukan keselamatan Thailand merampas bom buatan sendiri dan bahan letupan serta pelbagai peralatan lain selepas insiden berbalas tembakan dengan sekumpulan lelaki di sebuah pondok membuat bom di Kampung Pao, Nongchik di wilayah bergolak Pattani.

Ketua Polis Pattani, Mej Jen Thanongsak Wangsupa berkata, kejadian tembak-menembak selama 10 minit itu berlaku kira-kira 11 pagi semalam apabila lima lelaki yang berada di dalam pondok itu menyedari kehadiran anggota pasukan keselamatan.

 "Pasukan keselamatan menemui sebutir bom buatan sendiri seberat 30 kilogram (kg) yang sedia digunakan bila-bila masa, serta beberapa tong gas seberat 15kg dan bahan letupan serta peralatan lain.

"Namun, apa yang lebih memeranjatkan adalah penemuan sejumlah baja Urea di pondok itu yang boleh menghasilkan 30 butir bom buatan sendiri, masing-masing seberat 15kg serta pelan serangan," katanya kepada pemberita hari ini. Thanongsak berkata, dalam operasi keselamatan diketuai Komander Renjer Angkatan Renjer Wilayah Sempadan Mejar Poch Nuanbun itu mereka telah menangkap seorang daripada lelaki terbabit dikenali sebagai Sabari Chek Ali, 30. Empat lelaki lain dapat meloloskan diri dalam operasi keselamatan disertai kira-kira 100 anggota pasukan keselamatan Thailand yang turut menggunakan bot dan helikopter. Sabari, yang ditahan semalam menurut beliau, dikenal pasti terlibat secara aktif dalam gerakan pembebasan di wilayah Nongchik.

Pihak keselamatan juga percaya seorang daripada mereka yang meloloskan diri semalam merupakan pakar bom gerakan pembebasan selatan Thai dikenali sebagai Seri Waemamud yang bergerak aktif di Nongchik dan Khokpo di Pattani dan Tepa di Songkhla, menurut beliau.

 "Operasi untuk memburu keempat-empat mereka yang meloloskan diri dalam kejadian semalam telah diperhebatkan," katanya dan menambah, pasukan keselamatan Thai mengepung kawasan sekeliling lokasi kejadian dalam usaha memburu.

Pondok membuat bom itu terletak di tengah kawasan hutan bakau di kampung berkenaan dan pasukan keselamatan menurut Thanongsak, terpaksa menggunakan bot untuk sampai ke lokasi kejadian. Ia terletak berasingan daripada kawasan penduduk kampung lain. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/123386

No comments:

Post a Comment