Hakim Mahkamah Agung Thailand, Veeraphol Tangsuwan dalam kenyataannya berkata, tarikh pendengaran kes tersebut buat kali pertama ditetapkan pada 19 Mei ini selepas pihak pendakwa raya menerima kes berkenaan untuk membicarakan Yingluck.
Bagaimanapun beliau yang tidak hadir ke mahkamah hari ini, menafikan tuduhan tersebut.
Yingluck mempertahankan skim itu yang melibatkan pembelian beras daripada petani melebihi harga pasaran dan menyifatkan tuduhan berkenaan bermotifkan politik.
Selain itu, beliau mendakwa tidak terlibat dalam operasi harian skim berkenaan dan mempertahankan subsidi tersebut sebagai usaha membantu golongan miskin.
Namun pengkritik menyifatkan skim subsidi itu diperkenalkan sebagai cara Yingluck meraih sokongan daripada penduduk miskin di luar bandar.
Kes tersebut dikemukakan selepas Menteri Kewangan pada 24 Februari lalu melaporkan bahawa simpanan stok beras sebanyak 17.5 juta tan dan anggaran kerugian yang terpaksa ditanggung akibat skim tersebut berjumlah AS$16.46 bilion (RM60.83 bilion).
Syarikat pengeksport juga mengkritik skim subsidi itu kerana menjejaskan pasaran beras dan menggugat kedudukan Thailand sebagai pengeksport beras terbesar dunia.
Yingluck digulingkan oleh tentera pada Mei tahun lalu selepas tunjuk perasaan antikerajaan yang mendakwa kerajaan pimpinan beliau diselubungi masalah rasuah.
Kerajaan junta Thailand juga dilapor tidak berhasrat untuk melaksanakan semula pelan subsidi beras tersebut. – REUTERS