Ketua penyiasat Balai Polis Mae Wat, Mejar Manop Borapan berkata, kejadian berlaku pada pukul 9.30 malam ketika Afnan Che-mae, 48, isterinya, Piyaporn To-adam, 46, dan anak lelaki mereka Che-mae, 25, sedang menonton televisyen, lapor portal Bangkok Post.
Katanya, mangsa secara tiba-tiba diserang dua penyerang bersenjatakan raifal AK47 yang melepaskan tembakan rambang ke arah rumah mereka di Kampung Krapong di mukim Mae Wat.
Afnan terbunuh dalam serangan itu, manakala isteri dan anaknya yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Thanto sebelum dipindahkan ke Hospital Yala.
Dalam perkembangan berasingan, dua anggota polis Thailand terselamat daripada satu letupan bom tepi jalan yang berlaku sejurus pikap yang dinaiki mereka melepasi daerah Cho Airong di Narathiwat, petang semalam.
Jurucakap polis, Vitchapol Damsangvarn berkata, dua anggota itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis dimaklumkan tentang kejadian itu kira-kira pukul 2.55 petang.
Bom itu katanya dimampatkan di dalam gas memasak 20 kilogram sebelum disembunyikan di bawah papan iklan di Kampung Ban Khok di mukim Chuap.
Bom berkenaan diletupkan menerusi komunikasi radio semasa kenderaan tersebut tiba di tempat kejadian.