Sembilan cedera dalam letupan bom di Pattani
Anggota pasukan keselamatan sedang memeriksa tempat kejadian letupan bom di Mukim Tarua, Daerah Khokpo, Pattani, hari ini. - Foto Bernama
PATTANI – THAILAND. Sembilan orang cedera dalam kejadian letupan bom dan satu kejadian serangan bersenjata di sini hari ini. 

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Khokpo, Leftenan Colonel Pol. Siriwat Panyachon-nawat, ketiga-tiga kejadian berlaku di Mukim Tarua, Daerah Khokpo.

Beliau berkata, kejadian pertama berlaku di bengkel motosikal yang terletak di Jalan Ban Krok-Tarua pada jam 11.55 pagi dan mengakibatkan dua orang cedera.

Lima belas minit kemudian sebutir bom yang dipasang pada motosikal yang diletak tepi jalan dua kilometer dari tempat kejadian pertama meletup.

Katanya sasaran bom kedua itu ialah Penolong Ketua Pejabat Jajahan Khokpo dan anggota rela yang memasuki kawasan kejadian tembakan untuk membantu mangsa dalam kejadian letupan bom pertama.

Namun begitu, tiada kehilangan jiwa berlaku dan hanya kereta yang dinaiki mereka rosak.

Sementara itu serangan bom ketiga mencederakan tujuh orang iaitu empat pegawai kesihatan, dua pegawai penyelamat dan seorang anggota polis. - Bernama