26 March 2015

Hanya Malaysia facilitator damai selatan Thailand


26 Mac 2015
Hamzah Zainudin

Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR - Malaysia ialah satu-satunya negara yang menjadi fasilitator kepada proses damai di selatan Thailand, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainudin.

Beliau berkata ini ditegaskan sendiri oleh Perdana Menteri Thailand Jeneral (B) Prayut Chan-o-cha semasa lawatan rasminya di Malaysia pada 1 Dis tahun lepas.

"Beliau turut melahirkan penghargaan terhadap peranan yang dimainkan oleh Malaysia sebagai fasilitator dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) menyambut baik perkara ini serta menyatakan bahawa Malaysia terus komited untuk membantu dalam program bina upaya untuk masyarakat selatan Thailand," katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Kamarudin Jaffar (Pas-Tumpat) yang ingin tahu langkah terkini kerajaan untuk membantu menyelesaikan masalah Pattani di selatan Thailand.

Sehubungan itu, katanya Malaysia selaku fasilitator telah menyambung proses konsultasi dengan pihak yang berkenaan di selatan Thailand dan pihak kerajaan Thailand ke arah proses rundingan damai.  

Hamzah berkata kedua-dua pemimpin negara turut bersetuju terhadap tiga asas penting yang akan menjadi parameter kepada rundingan damai itu.

Asas berkenaan ialah keperluan menghormati undang-undang dan menghentikan aktiviti keganasan; prinsip keterangkuman iaitu semua kumpulan yang mewakili masyarakat Islam di selatan Thailand perlu terlibat dalam proses damai itu; dan semua tuntutan kumpulan berkenaan perlu digabungkan bagi membentuk satu tuntutan yang jelas dan komprehensif mewakili semua pihak.  

Beliau berkata Malaysia juga akan terus membantu dalam program bina upaya untuk masyarakat Islam di selatan Thailand dalam bidang pendidikan, latihan vokasional dan keusahawanan. - Bernama

No comments:

Post a Comment