14 February 2015

Makan mi pun perlu kebenaran


Bangkok: Ketua junta Thailand, Prayut Chan-O-Cha berkata, tentera mengawasi bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra sehinggakan dia tidak boleh makan semangkuk mi tanpa kebenaran mereka.

Chan, bekas jeneral tentera, berkata demikian sebagai mewajarkan keputusan beberapa anggota tentera menahan konvoi membawa Yingluck ke satu upacara keagamaan untuk mengingati nenek moyangnya di Chiangmai, utara negara itu, awal minggu ini.
Hari berikutnya bekas perdana menteri itu dirakam memakan mi di bandar berkenaan, kubu kuat keluarganya.
“Jika dia mahu pergi makan mi, dia boleh pergi, tetapi jika kami melarangnya dia tidak boleh pergi,” kata Prayut kepada wartawan sambil berkata pihak tentera akan sentiasa memantau pergerakannya.
Menurutnya, keputusan memeriksa konvoi Yingluck adalah sebahagian daripada jaminan keselamatan untuk bekas perdana menteri itu.
Prayut mendapat perhatian kerana kenyataan luar biasa sejak merampas kuasa Mei lalu.
Pihak berkuasa minggu lalu berkata, perdana menteri wanita pertama Thailand itu yang juga adik perempuan jutawan yang juga bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra dilarang mengadakan lawatan ke luar negara selepas menghadapi tuduhan jenayah rasuah berkait dengan skim subsidi beras ketika pentadbirannya.
Dia diputuskan akan didakwa bulan lalu oleh Parlimen yang dilantik tentera berhubung program subsidi itu.
Keputusan itu secara automatik menyekatnya daripada berpolitik selama lima tahun. Pendakwa juga berkata dia bakal menghadapi tuduhan berasingan berkait dengan jenayah rasuah yang boleh menyebabkan dia dipenjara sehingga sepuluh tahun.
Pemerhati berkata, tuduhan jenayah itu ialah satu lagi cubaan terbaru kumpulan elit istana dan tentera untuk menghapuskan pengaruh politik keluarga Shinawatra yang memenangi setiap pilihan raya sejak 2001.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/30543#sthash.ZcMomh9m.dpuf

No comments:

Post a Comment