3 February 2015

Junta Thailand perketat kawalan keselamatan

DUA anggota unit forensik membuat pemeriksaan berhampiran pintu masuk pusat beli belah Paragon di Bangkok semalam.
BANGKOK – Junta Thailand semalam berjanji akan mengetatkan kawalan keselamatan selepas dua bom paip buatan sendiri diletupkan berhampiran sebuah pusat beli-belah di sini.
Pihak berkuasa enggan membuat spekulasi sama ada letupan dua bom kecil itu mempunyai kaitan dengan kemelut politik dalaman Thailand.
Serangan itu menyebabkan dua pejalan kaki mengalami cedera ringan.
Namun, Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwon memberi amaran bahawa orang ramai kini berdepan kawalan keselamatan lebih ketat.
“Kami akan mengetatkan kawalan keselamatan di seluruh negara. Kami perlu melakukan pemeriksaan keselamatan lebih ketat di sesetengah kawasan,” katanya kepada wartawan di sini.
Unit forensik polis memeriksa lokasi letupan yang berlaku sekitar pukul 8 malam waktu tempatan kelmarin di laluan pejalan kaki menuju ke pusat beli belah Paragon.
“Senjata itu merupakan bom paip. Bom tersebut tidak mendatangkan kemusnahan besar,” kata jurucakap polis nasional, Prawut Thavornsiri.
“Letupan itu bertujuan untuk mencetuskan kekacauan,” tambahnya.
Thailand berada di bawah undang-undang tentera sejak satu rampasan kuasa menumbangkan kerajaan pimpinan Yinluck Shinawatra pada tahun lalu.
Di bawah undang-undang tersebut, segala bentuk perhimpunan dan kritikan terhadap pemerintah junta telah diharamkan.
Undan-undang itu turut membenarkan orang awam dibicarakan di mahkamah tentera tanpa hak untuk mengemukakan rayuan.
Junta tentera Thai berulang kali memberi alasan bahawa undang-undang tentera perlu bagi mengembalikan perpaduan selepas rakyat bertelagah kerana perbezaan politik. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0203&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3QeBNfr4L 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment