BANGKOK - THAILAND. - Kementerian Kewangan Thailand akan mengambil masa kira-kira dua hari untuk membuat keputusan berhubung tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra, untuk memperoleh semula kerugian akibat skim subsidi beras yang menimbulkan kontroversi.
 
Kementerian perlu berunding dengan agensi kerajaan yang berkaitan mengenai perkara itu, kata Menteri Kewangan Sommai Phasi.
 
Ini ekoran syor oleh Suruhanjaya Anti Rasuah Kebangsaan (NACC) semalam supaya Kementerian Kewangan menyaman Yingluck atas kerugian yang dialami dianggarkan 600 bilion baht (RM60 bilion).
 
Sommai berkata NACC telahpun menghantar butiran syor kepada kementerian bagi memfailkan saman ke atas Yingluck.
 
Sementara itu, Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha berkata beliau telah menugaskan Timbalan Perdana Menteri bertanggungjawab bagi hal ehwal guaman, Wissanu Kruengarm, untuk mengkaji isu perundangan berhubung syor oleh NACC.

"Saya menugaskan timbalan perdana menteri untuk mengkaji cara dan bidang yang berada dalam akauntabiliti perundangan," katanya kepada media selepas mesyuarat mingguan Kabinet di Rumah Kerajaan di sini hari ini.
 
Menurut NACC, tuntutan pampasan adalah tidak lebih rendah daripada taksiran kerugian sebanyak 600 bilion baht.
 
Skim subsidi itu, yang menyaksikan kerajaan membeli beras petani pada harga lebih tinggi daripada harga pasaran, dihentikan tahun lepas setelah Yingluck digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 22 Mei. - Bernama