8 July 2015

Pelajar bantah rampas kuasa akan dibicara


Bangkok: Empat belas pelajar yang ditahan kerana menyertai tunjuk perasaan membantah rampasan kuasa tidak akan dibebaskan dan mesti dihadapkan ke mahkamah tentera, kata ketua tentera Thai, semalam.

Kumpulan pelajar itu ditahan bulan lalu kerana menyertai perhimpunan aman di sini bagi mendesak pemerintahan tentera ditamatkan.

Junta tentera Thai atau lebih dikenali sebagai Majlis Kebangsaan untuk Keamanan dan Undang-Undang mengharamkan semua perhimpunan politik.

Simpati terhadap pelajar itu meningkat di Thailand dan juga luar negara.

Jumaat lalu, beratus-ratus penduduk menulis mesej sokongan kepada pelajar berkenaan pada tembok yang dibina di tengah Bangkok.

Ketua tentera Thailand, Udomdej Sitabutr menghargai sokongan rakyat terhadap pelajar itu, tetapi menolak desakan supaya membebaskan mereka.

“Pihak berkuasa tidak menganggap pelajar itu sebagai musuh. Mereka (pelajar) seperti anak saudara kami.

“Pihak berkuasa menangkap pelajar itu kerana mereka tidak berkelakuan baik.

“Kita perlu membiarkan undang-undang membuat keputusan dan langkah seterusnya membawa mereka ke mahkamah tentera,” jelasnya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Kesatuan Eropah minggu lalu menggesa Thailand membebaskan pelajar berkenaan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha menegaskan, beliau tidak akan tunduk kepada desakan antarabangsa. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 8:52 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/62589#sthash.YTylIcdq.dpuf

No comments:

Post a Comment