Laman web Bangkok Post m­elaporkan, dalam serangan di Songkhla, sebuah motosikal yang mengandungi bahan peledak meletup di Padang Besar, daerah Sadao kira-kira pukul 8.45 waktu tempatan (9.45 waktu Malaysia) sehingga mengakibatkan tiga orang terkorban dan lima lagi cedera.
Motosikal berkenaan dilaporkan diletakkan bersebelahan cawangan Bank Komersial Siam berhampiran pondok polis.
Sementara itu, di Narathiwat, lapan orang cedera selepas berlaku letupan di pusat Karaoke Busana, sebelum berlaku dua letupan bom yang menjadikan restoran sebagai sasaran.
Semua insiden letupan di Na­rathiwat berlaku di daerah Sungai Golok.
Menurut saksi, letupan yang menyasarkan dua restoran terbabit melibatkan bom paip buatan sendiri yang dilemparkan oleh penunggang motosikal tidak dikenali kira-kira pukul 6.50 petang waktu tempatan (7.50 malam waktu Malaysia).
Dalam perkembangan sama, polis selatan Thailand dalam satu kenyataan berkata, sebuah kedai dibakar di Narathiwat pada lewat malam semalam sehingga menyebabkan tiga orang terkorban.
Jelas kenyataan itu lagi, berhampiran lokasi kebakaran turut berlaku kejadian tembakan yang menyebabkan seorang lelaki Islam berusia 35 tahun ditembak mati oleh penyerang tidak dikenali. – AFP/AGENSI