26 July 2015

Lebih 100 didakwa

Bangkok: Pendakwa raya Thailand mencadangkan tuduhan dikenakan terhadap lebih 100 individu termasuk seorang jeneral tentera kerana terbabit dalam skandal penyeludupan manusia di negara itu.
Seramai 91 warga Thailand, sembilan Myanmar dan empat Bangladesh berdepan 16 tuduhan termasuk menyeludup manusia, terbabit dalam sindiket jenayah antarabangsa dan membawa warga asing masuk ke negara itu secara haram.
Jurucakap Pejabat Peguam Negara, Wanchai Roujanavong berkata, siasatan mendapati semua tertuduh terbabit dalam sindiket yang besar.
“Ada rangkaian yang membawa pendatang dari luar negara masuk ke negara ini secara sistematik.
“Sindiket ini menyebabkan banyak kerosakan dan banyak mangsa yang mati.
“Peguam Negara menganggap kes ini sangat penting kerana ia turut membabitkan beberapa individu berpengaruh,” katanya.
Katanya, pendakwa raya mengenakan dakwaan terhadap 72 suspek yang ditangkap dan menunggu proses sama terhadap 32 suspek yang masih bebas.
Skandal itu terbongkar selepas 36 mayat dipercayai pendatang Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh ditemui di kem rahsia berhampiran sempadan Thailand dan Malaysia pada Mei lalu.
Susulan penemuan itu, lebih 50 orang ditangkap dalam tempoh sebulan termasuk ahli politik tempatan, pegawai kerajaan, anggota polis dan seorang pegawai tentera berpangkat leftenan jeneral.
Antara yang ditahan 15 pegawai kerajaan termasuk Leftenan Jeneral Manas Kongpaen, datuk bandar dan ahli politik.
Kata Wanchai, semua pegawai kerajaan itu bakal didakwa atas beberapa tuduhan kerana cuai ketika menjalankan tugas.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 5:03 AM


ANGGOTA polis menggali kubur pendatang di satu kawasan hutan di sempadan Thailand - Malaysia.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66047#sthash.rM0kbTRa.dpuf

No comments:

Post a Comment