7 September 2016

Dua beranak maut dalam serangan bom




ORANG awam membantu membawa seorang mangsa yang cedera ke hospital. - Agensi

Narathiwat: Seorang budak perempuan berusia empat tahun dan bapanya antara tiga mangsa yang terbunuh dalam satu serangan bom motosikal di luar sekolah daerah Tak Bai di sini semalam.

Tentera berkata, bom yang disembunyikan dalam motosikal itu meletup kira-kira jam 8.25 pagi (waktu tempatan) ketika ibu bapa sibuk menghantar anak mereka ke Sekolah Ban Taba di kampung Ban Taba di Tak Bai.

Seorang lelaki yang dikenali sebagai Mayeng Wohba dan anak perempuannya, Mitra Wohba maut dalam serangan itu bersama seorang lagi lelaki berusia 23 tahun.

Jurucakap hospital memberitahu, semua mangsa yang maut beragama Islam.

Seramai 10 lagi mangsa termasuk empat anggota polis, guru dan ibu bapa turut cedera dalam serangan berkenaan.

Menurut tentera, bom dianggarkan seberat 20 kilogram disembunyikan dalam motosikal yang diletakkan di kedai di hadapan sekolah rendah berkenaan.

Bom itu dipercayai diletupkan menggunakan alat kawalan jauh ketika ibu bapa sibuk menghantar anak mereka ke sekolah berkenaan.

Jurucakap tentera, Pramote Prom-in mengutuk serangan itu yang dianggapnya tidak berperikemanusiaan.

“Bom ini tujuannya cuma satu iaitu untuk membunuh,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 7:46 AM

No comments:

Post a Comment