Satu sumber keselamatan berkata, Masae dari daerah Cho Airong, Narathiwat meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 30 April lalu dan jenazahnya turut dikebumikan di Malaysia.
Tentera Thailand, semalam mengesahkan kematian Masae yang merupakan seorang pemimpin kanan dalam sebuah daripada enam kumpulan pemisah Islam yang menganggotai Barisan Revolusi Nasional (BRN).
Masae pernah mengetuai sayap pemuda kumpulan pemisah dan menentang idea rundingan damai diadakan antara kerajaan Thailand dan Majlis Syura Pattani (Mara Pattani) di Kuala Lumpur.
Pada 2004, Masae didakwa atas tuduhan melakukan pemberon­takan dan terbabit dengan ke­giatan haram, selepas pasukan ke­selamatan menggeledah rumah­nya dan sekolah agama Samphan Witthaya, apabila mereka me­nemukan dokumen tentang teori tangga tujuh yang dipercayai pelan induk bagi pergerakan pemisah di selatan Thailand.
Bangkok Post melaporkan Masae dipercayai merupakan individu yang merancang pelan induk itu.
Kata sumber itu, kematian Masae tidak didedahkan lebih awal kerana bimbang anggota pemuda di bawah kepimpinannya menjadi kecewa.
Menurut sumber tersebut, Se­tiausaha Agung BRN, Abdulasis Salae, yang merupakan seorang bekas gu­ru menggantikan tempat Masae.
Abdulasis merupakan seorang daripada sembilan suspek yang ditahan di Thailand atas dakwaan melakukan pemberontakan dan terbabit dengan kegiatan haram.
Beliau kemudiannya diikat jamin dan masuk ke Malaysia.
Seorang lagi daripada sembilan suspek yang ditahan pihak berkuasa Thailand adalah Mazukri Hari, ketua Mara Patani yang mewa­kili kumpulan pemisah itu dalam rundingan damai dengan kerajaan Thailand yang tertangguh, baru-baru ini apabila Thailand enggan mencatatkan terma rujukan.