Katanya, beliau membuat ramalan itu berdasarkan pelan tindakan Majlis Ke­amanan dan Ketenteraman Nasional Thailand (NCPO) di bawah satu senario yang mana draf Perlembagaan baharu itu diluluskan pada satu pungutan suara.
Sekiranya draf Perlembagaan baharu itu diluluskan oleh Majlis Pembaharuan Nasional (NRC) dan disokong dalam pungutan suara yang dijangka diadakan pada Januari ini, Jawatankuasa Penggubalan Perlembagaan (CDC) kemudiannya akan menggubal undang-undang tambahan atau asas pada Februari.
Draf undang-undang asas itu akan diserahkan kepada Parlimen Thailand (NLA) pada Mac atau April depan untuk diluluskan dan akan dibawa ke Mahkamah Perlembagaan pada Mei depan, lapor portal Bangkok Post.
Selepas undang-un­dang asas itu di­luluskan oleh Mahkamah Perlembagaan, persediaan akan dibuat pada Julai atau Ogos depan bagi mengadakan satu pilihan raya umum yang mungkin berlangsung pada Ogos.
Beliau berkata, keputusan pilihan raya itu akan diumumkan 30 hari kemudian dan apabila kerajaan baharu dibentuk, lima ‘aliran’ utama iaitu, kerajaan, NCPO, NRC, NLA dan CDC akan dibubarkan.
“Apa yang saya perkatakan adalah berdasarkan kalendar kerja. Pilihan raya tidak akan menjadi kenyataan sepertimana yang dirancang sekiranya draf Perlembagaan tidak diluluskan pada pungutan suara itu,’’ kata Wissanu, semalam.
Wissanu berkata, NRC akan dibubarkan selepas pungutan suara itu diadakan tanpa mengira keputusan semasa hari pungutan suara itu dan digantikan dengan sebuah jawatankuasa pemandu pembaharuan nasional.
Dalam perkembangan berasingan, responden dalam satu tinjauan terbaharu menentang pindaan ke atas Perlembagaan sementara 2014 untuk membenarkan individu yang diharamkan daripada berpolitik supaya dilantik sebagai anggota Parlimen atau menyertai Kabinet.
Tinjauan oleh Institut Pembangunan Pentadbiran Nasional (Nida) yang diadakan Khamis dan Jumaat lalu melibatkan seramai 1,251 responden berumur 18 tahun ke atas di seluruh negara bagi melihat pendapat mereka tentang cadangan pindaan kepada Perlembagaan sementara 2014.