7 August 2013

Polis kenal pasti dua suspek bunuh imam Ya'kub


Penduduk Islam Thailand mengangkat jenazah Ya'kub ke dalam masjid di Pattani untuk disembahyangkan, sebelum dikebumikan. - AFP
PATTANI, 7 Ogos — Polis selatan Thailand mengenal pasti dua daripada empat suspek yang terlibat dalam pembunuhan pemimpin agama berpengaruh, Imam Ya'kub Raimanee iaitu Imam Besar Masjid Jamek Pattani.
Bagaimanapun, kes itu masih dalam siasatan, sama ada pembunuhan itu berpunca daripada masalah peribadi atau kes keselamatan, kata Ketua Polis Daerah Pattani, Kolonel Polis Tuan Dir Juthanan pada sidang media di sini hari ini.
Katanya, hasil siasatan polis, peluru yang digunakan untuk menembak Ya'kub merupakan jenis sama yang digunakan dalam 10 kes lain di Pattani.
Ya'kub, 49, ditembak empat lelaki dari jarak dekat pada pukul 4.40 petang semalam di pasar Ramadan Cabang Tiga, di sini ketika membeli makanan berbuka puasa dengan isterinya.
Berdasarkan rakaman CCTV, suspek menunggang dua motosikal dan memakai topi.
Dua daripada mereka bersenjatakan pistol .38mm.
Sementara itu, Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra menyampaikan ucapan takziah dan berkata Ya'kub telah banyak berjasa di kawasan itu.
"Insiden itu tidak seharusnya berlaku," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, hari ini.
Ketika ditanya adakah kejadian itu hasil kegagalan usaha keamanan di selatan Thailand, beliau berkata kadang-kadang insiden itu berpunca masalah peribadi.
Beliau meminta pihak berkuasa menyiasat perkara itu dengan segera, manakala masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu itu yang dianggap sensitif.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pattani, Wae Deramae Matmingchik berkata, Ya'kub dipilih penerima Anugerah Diraja sebagai Imam Terbaik tetapi sebelum beliau sempat menerimanya beliau sudah ditembak mati. — BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130807/lu_04/Polis-kenal-pasti-dua-suspek-bunuh-imam-Yakub#ixzz3EFAIGfXM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment